Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pada sidang media tergempar berkaitan dakwaan salah laku Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 13 FEBRUARI 2026

AMPANG – Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan lima tindakan termasuk mencadangkan perhimpunan aman dan membuat laporan polis bagi menekan kerajaan supaya bertindak terhadap dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, langkah itu akan bermula minggu depan dan diteruskan sehingga kerajaan memberi reaksi positif terhadap tuntutan supaya dakwaan yang didedahkan oleh Bloomberg disiasat secara bebas dan telus.

Menurut beliau, sebagai langkah awal, pihaknya akan menulis kepada semua ahli Parlimen merentas parti bagi mendapatkan persetujuan supaya Azam digantung serta-merta dan satu siasatan bebas dimulakan segera.

“Kami akan mendapatkan sokongan merentas parti supaya perkara ini tidak ditutup tanpa siasatan menyeluruh,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Rafizi berkata semua Ahli Parlimen turut digesa kembali ke kawasan masing-masing bagi mengadakan sesi penerangan kepada penduduk mengenai dakwaan tersebut.

Sebagai sebahagian daripada tekanan politik, beliau memaklumkan pihaknya akan menulis kepada pimpinan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya menggunakan pengaruh mereka dalam kerajaan menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersetuju melaksanakan tuntutan berkenaan.

Dalam masa sama, Rafizi berkata, satu surat akan dihantar kepada Bersih bagi mencadangkan penganjuran perhimpunan aman dalam masa terdekat.

“Kami mahu memberi ruang kepada rakyat untuk menzahirkan bantahan terhadap penyelewengan yang berlaku dalam SPRM,” ujarnya.

Rafizi turut mengesahkan beliau akan membuat laporan polis terhadap Azam susulan dakwaan dalam laporan Bloomberg bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api.

“Saya akan membuat satu laporan polis supaya Polis Diraja Malaysia boleh menyiasat dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut beliau, tindakan-tindakan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan sama, Rafizi berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap tuntutan yang dikemukakan.

“Kami berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adalah sangat tidak berbaloi sekiranya Pakatan Harapan dihukum rakyat atas tuduhan-tuduhan yang melibatkan seorang penjawat awam seperti Tan Sri Azam Baki,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast