KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) menyeru semua pihak yang terlibat dalam pertelingkahan berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan damai dan muafakat dalam kerangka peraturan organisasi masing-masing.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak secara khusus, Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, seruan itu juga tidak bermaksud untuk mencampuri urusan dalaman mana-mana organisasi.
Sebaliknya, menurut beliau, MN berharap masalah dalaman organisasi itu dapat diselesaikan, sekali gus memberi keutamaan kearah mengukuhkan muafakat antara organisasi.
Dalam masa sama, tambahya, MN turut menawarkan diri berdasarkan keperluan dan kesesuaian untuk menjadi tali dan jambatan ke arah muafakat dan perpaduan.
“Hanya melalui muafakat dan perpaduan kita dapat membina negara lebih makmur dan rakyat yang lebih sejahtera.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Muafakatlah dan dahulukan kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan bersama Ahli-Ahli Dewan Tertinggi MN hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, MN baru selesai mengadakan retreat di Janda Baik, Pahang semalam yang mana turut dianjurkan solat hajat dan mendoakan perpaduan dan muafakat kalangan rakyat, khususnya organisasi orang Melayu dan umat Islam.
Ketika ini, ramai yang membuat penilaian hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN) hanya menanti masa untuk terbubar susulan polemik politik antara kedua-dua parti itu khususnya berkait kemelut di Perlis.
Dalam masa sama, perpercahan dalaman Bersatu juga semakin parah dengan kedua-dua kumpulan iaitu kem Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin saling mendesak supaya masing-masing meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette
















