Sean Dyche. Foto BBC.

LONDON – Nottingham Forest memecat pengurus ketiganya musim ini iaitu Sean Dyche selepas kelab itu hanya mampu seri tanpa jaringan dengan pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers di City Ground di sini semalam.

Dyche hanya sempat bertahan empat bulan bersama kelab itu sejak dilantik menggantikan Ange Postecoglou pada 21 Oktober tahun lalu namun tetap menerima keputusan kelab dengan hati terbuka.

Dia menganggap keputusan pengurusan kelab demi kepentingan pasukan yang kini terdesak memperbaiki kedudukan semasa.

“Nottingham Forest mengesahkan Sean Dyche dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih.

“Kami mahu berterima kasih kepadanya dan seluruh kakitangannya sepanjang bersama pasukan.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya buatnya. Selebihnya kami tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Forest kini berada di tangga ke 17 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan hanya memiliki kelebihan tiga mata daripada kelompok zon penyingkiran yang kini dihuni oleh West Ham United, Burnley dan Wolves.

Postecoglou berdepan prestasi teruk di Forest apabila langsung tidak berjaya merakam kemenangan daripada semua lapan perlawanan sehingga ditunjukkan jalan keluar.

Padahal musim lalu, dia cemerlang membantu Tottenham Hotspur menjulang gelaran Liga Europa. – Agensi

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast