KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menyeru semua pihak mendepani isu berkaitan rumah ibadat tidak berdaftar dengan komitmen bersama bagi mencari penyelesaian secara aman.
Menurutnya, semua pihak juga perlu meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran undang-undang dan pendekatan yang praktikal.
Katanya, mereka yang mengambil tindakan unilateral yang tidak selaras dengan kedaulatan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan tidak akan membantu mana-mana pihak dalam isu tersebut.
“Perkara ini sewajarnya dan akan ditangani oleh pihak berkuasa tempatan, mengikut lunas undang-undang dan prosedur.
“Penghormatan terhadap proses undang-undang dan prosedur adalah penting dalam usaha memelihara perpaduan dan kesepakatan yang membolehkan Malaysia untuk terus maju dan makmur hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, William menambah, penting untuk memahami bahawa kewujudan rumah ibadat yang tidak berdaftar hari ni sebahagian besarnya berpunca daripada faktor sejarah serta kerumitan dan kekangan pentadbiran masa lalu.
Sehubungan itu, ujarnya, permasalahan tersebut khususnya yang melibatkan status tanah hendaklah diselesaikan melalui surat perundangan dan pentadbiran yang sewajarnya.
“Teras kepada kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa adalah pada nilai hormat-menghormati, toleransi dan pematuhan kepada kedaulatan undang-undang.
“Sehubungan dengan itu, wajar untuk kita sandarkan kekuatan ini dalam menangani isu-isu yang kompleks ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa pertikaian melibatkan rumah ibadat itu diselesaikan sepenuhnya melalui saluran undang-undang dan peraturan, serta sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mencetuskan salah faham atau perpecahan perlu dielakkan.
Jelas beliau, kesemua agama menyeru penganutnya untuk menjunjung tinggi nilai ihsan dan empati yang seharusnya menjadi inspirasi untuk setiap rakyat saling memahami biarpun berbeza pendapat.
“Melalui kefahaman bersama inilah kita dapat terus membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, bermula dari peringkat akar umbi sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah William, beliau kekal komited untuk terus mengadakan penglibatan secara konstruktif dengan agensi-agensi berkaitan serta pemimpin komuniti bagi memastikan isu itu dapat ditangani secara adil dan inklusif. – MalaysiaGazette
















