KUALA LUMPUR – Kontroversi berhubung isu pegangan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan siasatan polis menimbulkan persoalan serius sama ada kuasa awam sedang digunakan untuk memberi tekanan kepada media dan mewujudkan suasana ketakutan, kata Pemuda MCA.
Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung berkata, ini dapat dilihat menerusi tuntutan saman fitnah berjumlah RM100 juta yang mendapat liputan meluas, digabungkan dengan tindakan polis menggunakan pelbagai peruntukan jenayah.
“Ini mewujudkan kesan menggentarkan (chilling effect). Ia menghalang media daripada melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyemak dan memantau mereka yang berkuasa, serta melemahkan peranan media sebagai kuasa keempat dalam sebuah masyarakat demokratik,” katanya.
Menurut Yee Fung, apabila berdepan kebimbangan awam, mereka yang memegang jawatan berautoriti sepatutnya memberi respons dengan ketelusan dan penjelasan yang jelas, bukannya mengambil tindakan undang-undang secara agresif.
Ini lebih-lebih lagi melibatkan ketua badan pencegahan rasuah yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang luas yang mana jawatan sedemikian menuntut standard integriti dan akauntabiliti yang tertinggi.
Turut membimbangkan katanya, ialah kecenderungan kerajaan untuk memberi respons terhadap kritikan melalui tekanan atau siasatan, bukannya dialog dan penglibatan.
Menurut beliau, daripada menyiasat ucapan hinggalah menyiasat laporan media, corak ini berisiko mengecilkan ruang kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Tambah beliau, keutamaan sepatutnya adalah untuk memperjelaskan sama ada wujud sebarang konflik kepentingan, bukannya menyiasat pihak yang melaporkan isu tersebut. Media bukan musuh; sebaliknya mereka merupakan komponen penting dalam memastikan akauntabiliti demokratik,” katanya lagi.
Tambah Yee Fung, negara memerlukan akauntabiliti yang telus, bukan intimidasi. Negara memerlukan siasatan bebas, bukan penguatkuasaan terpilih.
“Saya menggesa kerajaan memastikan bahawa sebarang siasatan dijalankan secara benar-benar bebas, adil dan telus, di samping melindungi hak media untuk melaporkan secara bertanggungjawab.
“Hanya melalui reformasi institusi dan pengawasan yang berwibawa, keyakinan awam terhadap SPRM dan kerajaan dapat dipulihkan,”katanya lagi. -MalaysiaGazette















