KUALA LUMPUR – Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian diteruskan dengan jadual bekalan air yang baharu mulai 16 hingga 28 Feb 2026.
Ranhill SAJ berkata, pelaksanaan jadual tersebut susulan paras tadahan Empangan Machap yang menunjukkan trend penurunan dan berada pada tahap pemantauan rapi.
Katanya, sepanjang penjadualan baharu itu, pengagihan bekalan air akan dilaksanakan mengikut ketetapan 24 jam dengan bekalan air, manakala bagi 48 jam berikutnya, tiada bekalan air.
“Pembahagian bekalan adalah mengikut zon dan jadual yang telah ditetapkan.
“Jadual bagi kedua-dua tempoh masa itu demi memastikan pengurusan sumber air mentah dapat dilaksanakan secara terkawal, selain menstabilkan operasi loji rawatan air dalam keadaan kapasiti yang terhad,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam terus beroperasi dan membekalkan air terawat kepada pengguna.
Namun, kadar pengeluaran diselaraskan bagi menjamin kesinambungan bekalan secara menyeluruh dan mampan.
Pelaksanaan BAB merupakan langkah pengurusan sementara bagi memastikan agihan yang lebih adil dan mencukupi kepada semua kawasan terlibat sepanjang tempoh kemarau.
Para pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah, mengelak pembaziran dan menyimpan bekalan secukupnya untuk kegunaan asas.
“Sebagai langkah sokongan, bekalan air alternatif melalui lori tangki, tangki statik dan air mineral masih aktif digerakkan mengikut keperluan di lokasi-lokasi strategik.
“Semua pihak yang terlibat dalam penjadualan itu sentiasa memantau situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Ranhill SAJ berkata, BAB bermula 7 Feb lalu dengan penjadualan bekalan air selama 36 jam, diikuti 36 berikut tanpa bekalan air. -MalaysiaGazette















