Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi menetapkan setiap bakal jemaah haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran wajib membuat bayaran dam lebih awal kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) sebagai pra-syarat proses pengeluaran visa haji bermula Musim Haji 1447H/2026M, dengan kadar ditetapkan RM810 bagi seekor kibas.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah bagi memastikan kelancaran urusan dokumentasi dan kelulusan visa.

Bayaran tersebut perlu ditunaikan oleh setiap jemaah mengikut jenis ibadat haji yang dipilih.

Bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi THiJARI dan di kaunter cawangan TH di seluruh negara bermula 1 Ramadan.

Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan menguruskan pembekuan amaun tersebut daripada akaun TH mereka sebelum proses pendebitan dibuat selepas itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang ditetapkan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim haji ini.

“TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” katanya menerusi kenyataan sama.

Beliau menjelaskan, semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu menyelesaikan bayaran dam sebelum tiba di tanah suci.

Bagaimanapun, bagi bakal jemaah yang melakukan haji Ifrad, bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun TH telah didebitkan, selepas perakuan dibuat dan tertakluk kepada pengesahan pihak TH.

Sementara itu, penyertaan ibadah Qurban di Tanah Suci tahun ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas.

Pembayaran boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH seluruh negara.

TH turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap sebarang tawaran pembayaran dam dan Qurban di Tanah Suci yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi TH di [www.tabunghaji.gov.my](http://www.tabunghaji.gov.my) atau menghubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast