Gambar kemalangan ihsan IPD Temerloh

KUANTAN – Lima individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Tengku Ismail, Temerloh petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 5.30 petang.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Tesla, sebuah Perodua Myvi, Perodua Viva dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Hasil siasatan awal mendapati, kereta Tesla dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun telah hilang kawalan dan merempuh Perodua Myvi di hadapannya yang dinaiki empat individu termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rempuhan itu mengakibatkan Perodua Myvi tersebut terdorong ke depan dan melanggar motosikal Yamaha Y15ZR yang diparkir di kawasan berdekatan.

Sementara itu, Mohd Nasyim berkata, Tesla terbabit turut melanggar sebuah Perodua Viva yang diparkir di kawasan berdekatan selepas kemalangan tersebut.

“Ekoran kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi iaitu seorang wanita berusia 32 tahun disyaki patah bahu kanan manakala penumpang hadapannya seorang wanita berusia 29 tahun mengalami lebam pada bahagian perut dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Pemandu Tesla serta dua penumpang Perodua Myvi termasuk kabak-kanak turut mengalami kecederaan dan turut diberikan rawatan di hospital sama,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast