Logi Parti PEJUANG Tanah Air di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2021.

JOHOR BAHRU – Kebimbangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor berkenaan pembangunan pusat data di negeri ini tidak wajar disifatkan sebagai naratif politik sempit sebaliknya perlu dijawab dengan fakta dan data yang telus.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, perkara yang dibangkitkan adalah kesan dan faedah yang diterima rakyat Johor terutama peluang pekerjaan, bekalan air digunakan pusat data serta penyertaan industri kecil dan sederhana (IKS) serta kontraktor tempatan.

“Pelaburan pusat data bernilai RM164.45 bilion dengan jangkaan 6,000 pekerjaan berkemahiran tinggi tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kejayaan tanpa menilai limpahan ekonomi sebenar kepada rakyat.

“Sebagai perbandingan, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang bermula dengan pelaburan RM3 bilion telah mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung dengan kos gaji tahunan melebihi RM300 juta iaitu 10 peratus daripada pelaburan asal.

“Sebaliknya, bagi projek pusat data, peratusan limpahan gaji kepada rakyat jauh lebih kecil berbanding nilai pelaburan keseluruhan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kesan ekonomi menyeluruh kepada rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan Pejuang Johor cuba menimbulkan nararif ketakutan kononnya pembangunan pusat data akan menjejaskan bekalan air dan elektrik rakyat.

Mohd Hairi berkata, dakwaan itu tidak berasaskan fakta, mengelirukan dan bersifat spekulatif kerana hakikatnya, setiap projek pusat data yang diluluskan telah dan sedang melalui penilaian teknikal yang ketat, melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk keperluan tenaga, bekalan air, kelestarian alam sekitar serta keupayaan infrastruktur sedia ada.

Jelasnya, perancangan utiliti dilaksanakan secara berfasa, terkawal dan selari dengan kapasiti semasa serta perancangan jangka panjang negeri sekali gus menolak dakwaan bahawa projek itu dilaksanakan secara tergesa-gesa adalah tidak benar dan jelas bermotifkan politik sempit.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, Pejuang Johor turut memandang serius risiko terhadap bekalan air dan elektrik rakyat kesan daripada projek berkenaan.

Katanya, penggunaan air rakyat Johor dianggarkan sekitar 1,500 hingga 1,600 juta liter sehari, sedangkan sebuah pusat data berskala Tier 3 boleh menggunakan sehingga 11 hingga 19 juta liter sehari, manakala Tier 4 melebihi 20 juta liter sehari, bersamaan kegunaan sebuah bandar kecil.

Dengan 42 projek yang diluluskan ujarnya, penggunaan air pusat data berpotensi mencecah 500 hingga 800 juta liter sehari iaitu hampir satu pertiga daripada penggunaan rakyat.

Kaedah pembenihan awan ketika musim kemarau pula katanya, bukan jaminan mutlak kerana kadar kejayaannya terhad dan penggunaan bahan seperti silver iodide secara berlebihan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap tanah serta sumber air.

Tambahan pula taburan hujan tidak normal berisiko mencetuskan banjir dan menambah beban kepada rakyat, katanya.

Beliau berpendapat, sekiranya gangguan air berlarutan, kesannya bukan sahaja kepada kesihatan fizikal tetapi juga kesejahteraan mental rakyat.

“Dalam keadaan ini, pusat data lazimnya dijamin bekalan utiliti melalui perjanjian dengan kerajaan, sedangkan rakyat mungkin terpaksa menanggung kos penghantaran lori tangki air yang tinggi, seperti yang berlaku di Simpang Renggam baru-baru ini,” katanya.

Justeru katanya, kebimbangan itu adalah berasas apatah lagi menjelang 2030, Johor disasarkan menampung sehingga 60 peratus kapasiti pusat data negara.

Zainuddin berkata, namun sehingga kini tiada laporan audit awam yang komprehensif mengenai keseimbangan kapasiti utiliti dengan keperluan rakyat.

Tanpa pendedahan terbuka dan pemantauan bebas katanya, jaminan bahawa bekalan mencukupi kekal sebagai retorik.

Realitinya dakwa beliau, pusat data moden bersifat sangat automatik dan banyak bergantung kepada kepakaran khusus, termasuk tenaga mahir dari luar negara.

“Oleh itu, pelan pemindahan teknologi yang jelas dan terikat kepada syarat pelaburan amat penting supaya Johor tidak sekadar menjadi lokasi operasi, tetapi benar-benar menerima manfaat ilmu, kemahiran dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat tempatan.

“Selain itu, penyertaan IKS serta kontraktor tempatan masih kabur. Tanpa dasar yang jelas mengenai pemindahan teknologi, pemilikan tempatan dan agihan kontrak yang adil, IKS berisiko kekal di pinggiran rantaian nilai.

“Menurut laporan Asia-Pacific Data Centre Association (APDCA), sektor pusat data Malaysia dijangka menjana sekitar USD34 bilion output ekonomi dan menyokong 30,900 pekerjaan menjelang 2030, berbanding hanya USD 1.4 bilion output dan 4,400 pekerjaan pada 2024,” katanya.

Menurutnya, angka itu kelihatan besar namun lebih banyak mencerminkan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab digital serantau berbanding limpahan ekonomi langsung kepada rakyat Johor.

Pusat data katanya, tidak menghasilkan produk fizikal untuk eksport dan kebanyakan keuntungan operasi direkodkan oleh syarikat induk global di luar negara.

Katanya lagi, di peringkat tempatan, hasil yang diperoleh lebih tertumpu kepada cukai tanah dan pintu, utiliti serta cukai perkhidmatan, menjadikan Johor lebih sebagai penyedia tanah, tenaga dan utiliti berbanding penerima limpahan ekonomi nyata seperti sektor pelabuhan atau pembuatan.

Sehubungan itu, Pejuang Johor menegaskan pembangunan pusat data mesti dilaksanakan dengan pemantauan utiliti secara bebas dan pelaporan yang telus.

Ujar beliau, ini termasuk kewajipan pengambilan pekerja tempatan serta pelan pemindahan ilmu yang jelas, penglibatan aktif IKS tempatan dalam rantaian bekalan, serta jaminan kelestarian alam sekitar berasaskan data saintifik.

Agihan lokasi pusat data juga perlu lebih seimbang kerana Johor tidak wajar menanggung sehingga 60 peratus kapasiti negara tanpa jaminan manfaat ekonomi yang setimpal.

Projek seumpama itu katanya, boleh diagihkan ke negeri lain seperti Perak, Pahang atau Sarawak demi keseimbangan pembangunan nasional.

Pejuang Johor kekal komited menyokong pembangunan ekonomi digital yang mampan, namun pembangunan tersebut mestilah berteraskan ketelusan, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat Johor sebagai keutamaan utama.

“Kami ingin menegaskan pendirian Pejuang bukan bersifat menolak pelaburan, atau menakutkan rakyat, sebaliknya menuntut ketelusan, perancangan menyeluruh dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast