KUANTAN – Seorang pekerja swasta kerugian RM636,123.06 kerana terpedaya tawaran pelaburan saham tidak wujud melalui Facebook.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 57 tahun itu berurusan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp yang kemudiannya menawarkan skim pelaburan saham dengan pulangan keuntungan tidak masuk akal.
Jelasnya, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 30 peratus dalam tempoh sebulan dengan modal minimum RM10,000.00.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek telah mengarahkan mangsa untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan bernama “BM-max” melalui pautan yang diberikan menerusi WhatsApp.
“Bermula dari 9 Januari 2026 hingga 11 Februari 2026, mangsa telah membuat sebanyak empat transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM636,123.06,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui aplikasi tersebut, mangsa ditunjukkan paparan keuntungan yang kononnya meningkat sehingga mencecah lebih kurang RM1,843,765.38 termasuk komisen pelaburan.
Bagaimanapun, katanya ketika mangsa ingin mengeluarkan semula wang pelaburan beserta keuntungan yang dipaparkan, suspek telah memberikan pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan sebelum pengeluaran boleh dibuat.
“Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan peribadi serta pinjaman keluarga,” katanya lagi.
Yahaya menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette















