GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyemak semua lesen kilang kitar semula di seluruh negara susulan penguatkuasaan larangan mutlak import sisa elektronik (e-waste) berkuat kuasa 4 Februari lalu.
Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, gesaan itu dibuat susulan wujud segelintir kilang yang mempunyai lesen kitar semula tetapi dipercayai terlibat dengan aktiviti haram termasuk pengimportan e-waste di beberapa lokasi seperti Ipoh, Pulau Pinang, Sungai Petani dan Kulim.
Menurutnya, semakan menyeluruh penting bagi memastikan lesen-lesen berkaitan pengurusan sisa termasuk lesen SW110 digunakan mengikut syarat ditetapkan dan tidak dimanipulasi untuk menjalankan operasi yang bercanggah dengan keputusan kerajaan.
“Tindakan ini perlu dijalankan secara bersepadu kerana kita nampak tindakan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sangat tegas sebelum ini berjaya menumpaskan penyeludupan e-waste di Port Klang serta menutup kilang haram di Telok Panglima Garang.
“Justeru kita gesa JAS turun padang dan semak semula semua lesen kilang terutama yang memproses barangan kitar semula khususnya lesen SW110 dikemas kini dan tidak melanggar syarat ditetapkan.
“Usaha membanteras kilang haram dan penyalahgunaan lesen perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira lokasi, kedudukan mana-mana pihak selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya usaha membasmi penyelewengan dilaksanakan secara tegas serta adil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 4 Februari lalu melaporkan , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan menguatkuasakan larangan mutlak import e-waste sebagai langkah memperkukuh kawal selia dan mengekang kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara. – MalaysiaGazette















