KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan hari ini menerima kunjungan hormat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Menurut Zulkifli, dalam pertemuan itu, mereka turut membincangkan mengenai inisiatif gerak kerja kemanusiaan dan kemasyarakatan Yayasan Nurjiwa dan agensi Hal Ehwal Agama.
“Saya maklumkan bahawa kehadiran tepat di hari pertama Ramadhan membawa barakah dan keceriaan kepada pejabat kami.
“Seronok mendengar cerita dan sumbangan Yayasan Nurjiwa di Gaza, Acheh dan di negara kita yang digerakkan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Dato’ Sri Haji Khalid. Banyak pahala mengalir dengan kebaikan yang disebarkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Zulkifli berkata, secara prinsip kedua-dua piha bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif berimpak tinggi bersama agensi Hal Ehwal Agama.
















