KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation Sdn Bhd meneruskan tradisi kebajikannya dengan menaja 300 golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadah umrah tahun ini termasuk memberi keutamaan kepada individu yang banyak berjasa kepada masyarakat.
Pengasas dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, program berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya satu usaha berterusan memastikan peluang ke Tanah Suci dapat dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukan.
Menurut beliau, pendekatan tahun ini turut diperkasakan dengan penglibatan masyarakat dalam mencadangkan calon-calon penerima.
“Apa yang menarik kali ini, kami benarkan orang ramai mencadangkan individu yang dirasakan layak khususnya mereka yang berjasa kepada negara atau komuniti setempat tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk menunaikan umrah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, cadangan itu boleh melibatkan petugas barisan hadapan, sukarelawan, tokoh masyarakat serta individu yang aktif membantu orang ramai tanpa mengharapkan balasan.
“Ramai yang berkhidmat secara senyap. Mereka inilah yang kita mahu angkat dan hargai,” ujarnya.
Abdul Malik berkata, semua nama yang dicadangkan akan diumumkan secara berperingkat melalui platform media sosial rasmi Malik Streams bagi memastikan proses pemilihan dilakukan secara terbuka dan telus.
Menurut beliau, maklum balas orang ramai juga akan diambilkira sebelum pemilihan akhir dibuat.
“Kami mahu masyarakat sama-sama terlibat dalam usaha kebajikan ini, bukan sekadar menjadi pemerhati,” katanya lagi.
Beliau berkata, penghantaran jemaah kali ini akan ditaja sepenuhnya secara tunai oleh syarikat termasuk kos perjalanan, penginapan dan pengurusan.
Menurutnya, program tajaan umrah itu telah dilaksanakan sejak 2017 bermula dengan 50 jemaah diikuti 100 orang pada 2020 dan 200 orang pada 2024.
“Tahun ini jumlahnya ditingkatkan kepada 300 orang dengan rata-rata cadangannya datang dari anda. Semoga inisiatif ini dilihat sebagai satu bentuk amal jariah yang diharap memberi manfaat jangka panjang kepada penerima.
“Kami percaya setiap bantuan ini adalah saham akhirat. Jika ia memberi perubahan positif dalam kehidupan seseorang, itu sudah cukup bermakna bagi kami,” katanya.
Selain program umrah, beliau memaklumkan Malik Streams turut meneruskan program sumbangan Hari Raya Aidilfitri dengan menyasarkan 3,500 penerima di seluruh negara.
Katanya, bantuan itu melibatkan anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Kami mahu mereka turut merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri tanpa rasa tersisih,” katanya.
Katanya, syarikat itu sebelum ini juga beberapa kali menaja penghantaran jemaah umrah serta menyalurkan bantuan Hari Raya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.
Beliau menegaskan, pendekatan tersebut adalah sebahagian daripada falsafah perniagaan Malik Streams yang menekankan keseimbangan antara kejayaan komersial dan tanggungjawab sosial.
“Perjalanan perniagaan kami sentiasa seiring dengan usaha membantu masyarakat. Ini bukan projek bermusim, tetapi komitmen jangka panjang,” katanya.
Untuk rekod, Malik Streams sejak penubuhannya aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk bantuan makanan, sokongan pendidikan, sumbangan bencana, penajaan ibadah umrah serta sumbangan Aidilfitri kepada golongan memerlukan.- MalaysiaGazette
















