PONTIAN – Operasi mencari seorang sub kontraktor yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot semasa pergi memancing di Sungai Ayer Hitam, Kayu Ara Pasong di sini pagi tadi dihentikan sementara.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, operasi berkenaan dihentikan pukul 7 malam tadi atas faktor keselamatan pasukan keselamatan yang terbabit.
Beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa akan disambung semula pukul 8 pagi esok.
“Pemantauan berterusan dilaksanakan oleh anggota Balai Polis Kayu Ara Pasong dengan kerjasama pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu portal ini melaporkan Albert Tan Siang Fook, 56, dikhuatiri lemas manakala anak angkatnya, Chong Hao Chen, 9, terselamat semasa keluar memancing dengan menaiki bot.
Mangsa terjatuh dari bot ke dalam sungai sebelum lemas dan hilang disebabkan bot dinaiki melanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air.
Kejadian tersebut berlaku selepas kedua-dua beranak itu bertolak dari Jeti Bumbung Biru, Tanjung Ayer Hitam, Kayu Ara Pasong, di sini pukul 8 pagi.- MalaysiaGazette
















