MELAKA – Setiap kali Aisy Nur Dareesa Mohd Sahril Azuan mengukir senyuman, tiada siapa menyangka tubuh kecil berusia tiga tahun itu sedang berjuang menahan kesakitan yang tidak terucap.
Ia apabila kanak-kanak itu disahkan menghidap Alagille syndrome sejak lahir, sejenis penyakit genetik jarang berlaku yang menjejaskan fungsi hati dan boleh membawa komplikasi serius kepada organ lain.

Anisah berkata, anak bongsunya, Aisy Nur Dareesa Mohd Sahril Azuan, tiga tahun yang disahkan mengidap Alagille syndrome sejak lahir memerlukan kos hampir RM200,000 untuk pembedahan hati di Hospital Renji di Shanghai, China.
Kini, satu-satunya peluang untuk menyelamatkan nyawanya adalah melalui pembedahan pemindahan hati yang perlu dilakukan segera namun harapan itu datang bersama beban kewangan yang amat berat apabila kos rawatan keseluruhan dianggarkan hampir RM200,000.
Ibunya, Anisah Ab Rahim, 33, berkata, keadaan kesihatan Aisy semakin merosot sejak kebelakangan ini dan pakar menasihatkan agar prosedur pemindahan hati tidak lagi ditangguhkan.
Setiap malam, dia hanya mampu memandang wajah anak bongsu daripada dua beradik itu ketika lena, bimbang andai esok belum tentu menjanjikan hari yang lebih baik.
Air mata menjadi teman sunyi, doa menjadi kekuatan terakhir yang dipaut agar nyawa anaknya terus diberi kesempatan melalui pembedahan di Hospital Renji di Shanghai, China sebaik sahaja dana mencukupi.
“Kutipan dana pembedahan sebanyak RM185,000 sudah dimulakan sejak dua minggu lalu dengan bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan kes penyakit hati.
“Jika semuanya dipermudahkan dan cukup dana, kami akan ke China untuk pembedahan itu seberapa segera yang mana saya sendiri bersedia menjadi penderma hati untuk Aisy,” katanya sebak ketika ditemui di rumah kakaknya di sini hari ini.

Hadir sama, wakil Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM). Dr Khor Ying Kim yang turut menyampaikan sumbangan kit makanan serta barangan keperluan asas dan wang tunai bagi mengurangkan beban ditanggung.
Anisah bekerja sebagai kakitangan GIATMARA memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan manakala suaminya mencari rezeki sebagai pemandu bas di Shah Alam dan hanya dapat pulang ke Melaka sebulan sekali.

“Kekangan kewangan yang semakin mendesak menyebabkan kami terpaksa meninggalkan rumah sewa dan kini menumpang di rumah kakak demi memastikan segala sumber yang ada dapat dikumpul untuk rawatan Aisy.
“Biarpun terpaksa mengorbankan keselesaan hidup, saya dan suami reda asalkan anak kecil kami ini mempunyai peluang untuk terus bernafas seperti kanak-kanak lain.
“Di kemuliaan Ramadan ini, saya berdoa agar rakyat Malaysia dapat bantu beri sumbangan mengikut kemampuan atau paling tidak membantu menguar-uarkan kisah Aisy,” ujarnya menyeka air mata.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 05021020562854 atas nama Anisah Ab Rahim. – MalaysiaGazette
















