JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan sindiket import kereta mewah selepas menahan empat lelaki dan menyita 42 buah kenderaan import bernilai RM22 juta selepas melakukan serbuan di negeri ini dari 5 Januari hingga 6 Februari lalu.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, menerusi Ops Terma, sebanyak 341 pemeriksaan dilakukan yang merangkumi premis gudang kereta mewah berlesen serta rondaan darat.
“Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan tersebut, sebanyak 21 kes telah dibuka untuk siasatan dengan empat tangkapan melibatkan lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun yang merupakan pemilik syarikat terbabit.
“Kastam menyita 42 buah kenderaan. Secara keseluruhan, anggaran nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM22 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati permit import (AP) bagi kenderaan berkenaan adalah dari pelbagai negara antaranya Jepun dan United Kingdom (UK).
Katanya, antara jenis kereta mewah import itu melibatkan jenis Mercedes-Benz, BMW, Toyota, Lexus dan Suzuki Jamny.
Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan seperti masih tidak membayar cukai kenderaan import itu dalam tempoh 24 bulan dan walaupun selepas diberi tempoh sehingga 48 bulan.
Katanya, kesalahan lain adalah pemilik berkenaan sudah membawa kenderaan berkenaan di jalan raya dengan keadaan masih belum membayar cukai.
Jelasnya, operasi itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemilik gudang berlesen selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 65 dan Seksyen 75 Akta Kastam 1967.
Selain itu Ops Terma turut menyasarkan kenderaan yang diimport secara tidak sah termasuk kenderaan import dari Singapura dibawa masuk tanpa permit import yang sah sebagaimana diperuntukkan bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967 berkaitan pelanggaran syarat tempoh simpanan serta tuntutan cukai dan Seksyen 75 Akta Kastam 1967 berhubung perbuatan mengalih atau memindahkan barang di bawah kawalan kastam tanpa kebenaran.
Beliau memberitahu, ia termasuk Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan menyimpan atau memiliki barang larangan import.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.
Tambah beliau, pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.- MalaysiaGazette
















