Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pihak pendakwaan masih dalam proses menyiapkan pernyataan saksi bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dijadual memberi keterangan dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pernyataan saksi Tengku Zafrul masih belum lengkap, namun 99.5 peratus pernyataan saksi lain telah diserahkan kepada pembelaan.

Beliau berkata, pernyataan bekas menteri itu akan diserahkan kepada pasukan pembelaan mewakili Muhyiddin, dua minggu sebelum perbicaraan yang dijadual bermula pada 9 Mac ini.

“Kami juga telah menyerahkan senarai saksi yang akan dipanggil memberi keterangan di mahkamah kelak,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat dan Mahadi Abdul Jumaat.

Wan Shaharuddin menyatakan demikian ketika pengurusan kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa dihadapi  Muhyiddin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga berdepan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.

Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh mengesahkan telah menerima pernyataan saksi berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, pembelaan belum menerima pernyataan saksi membabitkan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Kami mahu mendapatkan pengesahan sama ada beliau akan dipanggil memberi keterangan atau sebaliknya.

“Pembelaan menerima seadanya jika beliau tidak dipanggil kerana ia merupakan hak pendakwaan untuk memanggil mana-mana saksi ke mahkamah.

“Saya utarakan perkara ini kerana nama Syed Mokhtar tidak dimasukkan dalam senarai saksi pendakwaan bagi kes ini,” katanya.

Menjawab perkara tersebut, Wan Shaharuddin berkata, senarai saksi yang diserahkan kepada pembelaan hanya melibatkan kes rasuah berkaitan Jana Wibawa.

Katanya, nama Syed Mokhtar telah dimasukkan dalam senarai saksi bagi kes AMLA dan ia telah diserahkan kepada pembelaan, tiga tahun lalu.

“Jika tiada pernyataan saksi diserahkan kepada pembelaan maka besar kemungkinan ahli perniagaan itu memberi keterangan secara lisan,” katanya yang hadir bersama peguam Chetan Jethwani.

Muhyiddin yang tidak hadir ke mahkamah turut diwakili peguam, Low Wei Loke dan Kee Wei Lon.

Mendengar perkara terbabit, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin meminta pihak pendakwaan melengkapkan senarai saksi bagi semua kes berkenaan, pada atau sebelum Jumaat ini.

Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa dan dua pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022.

Tiga hari kemudian, iaitu 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selaku Presiden Bersatu, menerima hasil AMLA iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai, dan bersambung pada 17 hingga 21 dan 26 serta 27 Ogos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast