KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah diarahkan untuk memberikan penjelasan lanjut dalam mesyuarat pasca-Kabinet susulan beberapa insiden gangguan melibatkan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya sejak awal Ramadan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Prasarana turut diarahkan membentangkan pelan tindakan pemulihan segera bagi menangani insiden tersebut.
Menurutnya, beliau memandang serius insiden gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya itu memandangkan rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap.
“Saya juga akan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat insiden-insiden tersebut dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sejak beberapa hari lalu, pengguna perkhidmatan tren meluahkan rasa kecewa berikutan kekerapan gangguan LRT Kelana Jaya khususnya yang berlaku pada waktu puncak.
Insiden itu sekali lagi dilaporkan berlaku pagi tadi sehingga menyaksikan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen tren laluan tersebut.
Berdasarkan perkongsian di laman sosial media, orang ramai dilihat bersesak-sesak di Stesen Sri Rampai; Pasar Seni; Masjid Jamek; KLCC dan beberapa stesen lain. – MalaysiaGazette
















