Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan agak kurang matang menjadikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai poster boy Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) hanya kerana faktor beliau merupakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang aviation (penerbangan).

Menurutnya, kehebatan dari segi ilmu dan kepakaran Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dalam bidang tertentu belum melayakkan beliau untuk dijadikan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Sebaliknya, kata beliau, penilaian sebenar harus dibuat dari segi reputasi semasa Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Apa perkara “wow” yang telah dicapai? ekonomi negeri Terengganu dah capai billion-billion mcm Kedah?

“Apa sumber baru yang telah dicipta? Takkan kejayaan menganjurkan perhimpunan “RX-Z” dah boleh dijadikan kayu ukur melayakkan beliau jadi poster boy negara?

“Ataupun jeritan demi jeritan mengenai isu royalti lapuk terus menjadi bahan “marketing” murahan untuk jual bahawa Dr Ahmad Shamsuri sebagai calon Perdana Menteri Malaysia menanti?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Shaiful Hazizy, untuk menjadi pemimin hebat tidak memerlukan PhD dalam bidang aeroangkasa, sebaliknya sedikit ilmu dan nilai empati merasai denyut nadi rakyat.

Beliau mengambil contoh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang tidak memiliki PhD, namun mampu membangunkan negeri Perak menjadi sebuah negeri contoh, mencipta sumber ekonomi baharu dengan struktur kewangan semakin kukuh sehingga boleh “memberi” semula kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyokong Pas dan PN khususnya supaya tidak terlalu awal `menjual’ Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri seterusnya, kerana bimbang menjadi seperti `indah khabar daripada rupa’.

“Bagi saya Pas jangan over-confident lebih menganggap pelantikan Samsuri ini mampu membawa parti mereka lebih moderate dan dosa-dosa tunggangan lampu dicuci bersih, hakikatnya bangkai gajah walaupun ditutup rapi, bau busuknya akan senantiasa dapat dihidu walaupun dari jauh,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Pas mencadangkan Ahmad Samsuri yang dilantik sebagai Pengerusi PN baharu sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

Dalam satu hantaran di Facebook, sayap parti itu menggambarkan Menteri Besar Terengganu berkenaan sebagai seorang teknokrat dan pemimpin yang tenang serta berfokus kepada hasil.

Katanya, Ahmad Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam bukan seorang ahli politik yang gemar berdrama, sebaliknya lebih dikenali sebagai pemimpin yang bekerja dalam diam tetapi membuahkan keputusan nyata. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast