JOHOR BAHRU – Dakwaan tidak benar Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT) bersifat dangkal, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan disifatkan sebagai tidak berasas seperti yang tular dalam media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu memberitahu, kenyataan tersebut dimuat naik oleh seorang individu dalam platform X.
“SSI sememangnya adalah hak milik JDT yang berada di bawah naungan dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab berkenaan.
“Pembinaan SSI adalah sebahagian daripada visi strategik Pemangku Sultan Johor bagi membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di negeri ini, sekali gus meletakkan Johor sebagai antara kuasa besar bola sepak di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat serta pengurusan kelab secara keseluruhan.
Katanya, Pemangku Sultan Johor sudah memberikan kepercayaan kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) bagi memastikan tadbir urus stadium dilaksanakan secara profesional dan berstandard antarabangsa.
Sehubungan itu, Mohd Hairi menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar, spekulatif dan wajar dihentikan agar tidak mengelirukan rakyat Johor.
Beliau turut menyeru penulis serta pempengaruh media sosial supaya lebih bertanggungjawab dengan menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencemar reputasi institusi sukan serta kepimpinan Johor.
Sebelum itu, tular dalam laman X mengenai muat naik megenai Dakwaan SSI bukan kepunyaan JDT.
“Ada angin bertiup kencang mengatakan SSI bukanlah kepunyaan JDT. Kelab Bolasepak JDT hanyalah penyewa.
“Kalau betul rumors ni, pencacai selatan dah boleh standby sembam muka dekat air loji. Time will tell eh,” tulisnya.- MalaysiaGazette
















