Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran di sebuah gudang penyimpanan getah dan plastik di Kawasan Perindustrian Sengkang, Senai, Kulai, hari ini.

KULAI – Kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sengkang di sini sejak semalam menyebabkan dua buah sekolah berhampiran ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kebakaran itu menyebabkan pencemaran udara sehingga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar ditutup sementara.

“Dua buah sekolah itu telah diarahkan untuk ditutup sementara sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, berdasarkan nasihat serta penilaian keselamatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai (PKD).

“Hasil pemantauan pihak berkaitan mendapati masih terdapat asap serta bau pembakaran di kawasan sekolah yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa.

“Justeru, pihak sekolah diminta untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sentiasa mematuhi sepenuhnya garis panduan serta arahan yang ditetapkan oleh PKD dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, portal ini melaporkan kebakaran sebuah gudang penyimpanan getah dan plastik terbakar sejak semalam dan sehingga tengah hari tadi 65 peratus sudah berjaya dipadamkan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8.37 malam tadi.

Kerja-kerja pemadaman kebakaran diteruskan pada hari ini dengan membabitkan bantuan daripada pelbagai agensi.

Mengulas lanjut, Aznan memberitahu, penutupan SJKC Sengkang melibatkan 178 murid, 16 guru dan tiga Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) manakala SJKC Kulai Besar yang melibatkan 1,353 murid, 71 guru dan lima AKP.

Menurutnya, keutamaan kerajaan negeri adalah keselamatan dan kesihatan anak-anak murid serta warga pendidik, dan sebarang keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional pihak kesihatan.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru orang awam agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih berhubung kejadian ini.

“Penyebaran maklumat yang tidak tepat hanya akan mengelirukan masyarakat dan menimbulkan keresahan yang tidak perlu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan terus bekerjasama rapat dengan PKD serta agensi-agensi berkaitan bagi memantau situasi ini secara berterusan.

“Segala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan anak-anak Johor sentiasa terpelihara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast