KUALA LUMPUR – Keputusan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau badan pemantau bebas bagi memperkukuh mekanisme pengawasan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti berasaskan keperluan objektif bukan tekanan politik atau persepsi semata-mata.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan harus berhati-hati agar mekanisme pengawasan tidak bertukar menjadi alat tekanan politik terhadap agensi penguatkuasaan.
Menurutnya, MCW bersetuju sebagai agensi yang mempunyai kuasa besar untuk menyiasat dan mendakwa kes rasuah berprofil tinggi, SPRM juga perlu mempunyai struktur semak dan imbang yang diyakini rakyat.
Namun ketika ini sudah wujud sekurang-kurangnya lima badan pengawas termasuk Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan beberapa panel lain yang memantau SPRM.
Ujar beliau, apa yang menjadi isu bukan sekadar kewujudan mekanisme, tetapi keberkesanan, ketelusan dan kebebasan fungsi badan pemantau tersebut.
“RCI adalah instrumen luar biasa yang biasanya digunakan apabila terdapat krisis keyakinan yang serius dan bukti awal yang memerlukan siasatan menyeluruh serta bebas.
“Jika kerajaan merasakan tahap persepsi awam telah menjejaskan integriti institusi secara signifikan maka RCI boleh dipertimbangkan sebagai langkah memulihkan keyakinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas cadangan dua Ahli Parlimen kerajaan termasuk Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim supaya RCI atau badan pemantau bebas ditubuhkan bagi memperkukuh mekanisme pengawasan terhadap SPRM.
Sebagai alternatif kepada cadangan penubuhan RCI itu, Jais berkata, Jawatankuasa Parlimen berkaitan rasuah perlu diberi akses laporan berkala yang lebih telus dan dibenarkan mengadakan sesi pendengaran tertutup dengan kepimpinan SPRM bagi isu sensitif.
Walaupun pengisytiharan aset telah dilaksanakan melalui sistem perkhidmatan awam namun satu bentuk pendedahan berkala kepada panel bebas boleh membantu meredakan polemik berulang, katanya.
Dalam masa sama SPRM perlu memperkasa mekanisme komunikasi strategik yang pantas dan berfakta bagi menjawab isu sensitif yang mana kelewatan maklum balas akan membuka ruang kepada spekulasi.
“Dalam jangka panjang, pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya melalui proses yang melibatkan pengesahan Parlimen boleh dipertimbangkan bagi mengukuhkan kepercayaan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















