KUALA LUMPUR – Ancaman dadah di negara ini masih berada pada tahap yang membimbangkan dan semakin kompleks apabila nilai rampasan dadah dan racun mencecah RM3.19 bilion sepanjang tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu meningkat ketara berbanding RM388.07 juta pada 2024.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 89 tan dadah dan 132 tan bahan racun dirampas, dengan methamphetamine kekal sebagai bahan paling banyak dirampas iaitu melebihi 51 tan.
“Trend ini mengesahkan Malaysia terus berhadapan ancaman sindiket rentas sempadan yang aktif dan agresif serta memberi kesan langsung kepada dari segi keselamatan, kesihatan awam serta kos sosial dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKDM) hari ini mempengerusikan mesyuarat JKDM Kali ke-10 Bilangan 1 Tahun 2026 di Putrajaya.
Sementara itu, beliau menambah, Laporan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 2025 merekodkan seramai 191,832 individu terlibat, bersamaan kadar prevalens 560 bagi setiap 100,000 penduduk, dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 25,475 orang.
Katanya, data menunjukkan 53.2 peratus kes dikesan melalui tangkapan penguatkuasaan, manakala 40 peratus melibatkan klien rawatan dan pemulihan dalam komuniti.
“Statistik ini membuktikan isu dadah bukan sahaja isu jenayah, tetapi juga isu kesihatan awam dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, kejayaan membanteras dadah bukan tanggungjawab satu agensi semata-mata sebaliknya setiap kementerian dan pihak berkepentingan perlu memainkan peranan secara jelas dan bersepadu.
Katanya, ia merangkumi aspek pencegahan sosial, pendidikan, kesihatan, kebajikan, pembangunan belia, perumahan dan peluang pekerjaan.
“Pendekatan whole-of-government dan whole-of-society mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang konkrit, terukur dan berterusan demi memastikan usaha ini dilaksanakan secara holistik, berperikemanusiaan dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette
















