KUALA LUMPUR – Perpaduan Melayu dan Islam yang hangat dibincangkan mungkin sesuai dalam politik nasional atau di Semenanjung Malaysia.
Namun, menurut Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, situasi politik di Sabah adalah berbeza, khususnya dalam konteks kepartian.
Ujarnya, apabila pilihan raya umum (PRU) semakin hampir, nada dan retorik politik perpaduan Melayu dan Islam itu menjadi semakin kuat.
Jelas beliau, pendekatan politik itu mungkin mempunyai latar sejarah tersendiri di Semenanjung, tetapi jika dibawa ke Sabah tanpa kefahaman yang betul, ia boleh mengganggu keharmonian masyarakat negeri itu.
“Apabila kita melihat perkembangan politik di Kuala Lumpur, kadang-kadang kita berasa bimbang.
“Politik yang terlalu ditekankan atas dasar kaum dan agama boleh mewujudkan perpecahan.
“Bagi orang Sabah, pendekatan sebegini tidak membantu menyatukan perbezaan kita, malah boleh merenggangkannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, negeri itu dibina atas asas masyarakat majmuk yang mana bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam, Cina dan kaum-kaum lain telah lama hidup bersama.
Katanya, kestabilan Sabah bergantung pada keseimbangan dan sikap saling menghormati, bukan pada dominasi satu kelompok.
“Sebab itu Sabah perlu berhati-hati. Kita mesti melindungi keharmonian masyarakat kita daripada arus politik yang tidak selari dengan realiti Sabah,” katanya.
Ujarnya, politik di Sabah berasaskan tiga perkara iaitu autonomi, pembangunan dan akomodasi iaitu mempertahankan hak Sabah, memajukan ekonomi rakyat dan mengurus kepelbagaian dengan matang.
Kata beliau, dalam politik kepartian, perbezaan adalah perkara biasa dan semua pihak boleh bersaing semasa pilihan raya.
Namun, jelasnya, selepas pilihan raya, semua pihak kembali duduk semeja, dengan kestabilan negeri mesti diutamakan.
“Kita mungkin berbeza pendekatan, tetapi tanggungjawab kita sama, menjaga keharmonian Sabah dan masa depannya,” katanya. – MalaysiaGazette
















