SUBANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan Sukan SEA ke-34 pada tahun depan berjalan lancar dan dijayakan dengan cemerlang, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata, KBS turut mengharapkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pengamal media untuk menguar-uarkan penganjuran sukan yang bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah kelak.
“Sekarang ini kita sudah perlu wujudkan hype Sukan SEA kita akan menjadi tuan rumah pada 2027 akan dating.
“Jadi saya harap semua memainkan peranan, KBS akan cuba sebaik mungkin untuk menganjurkan Sukan SEA ini dan menjadi antara Sukan SEA yang terbaik,”
“Dan ini sudah pasti memerlukan bantuan daripada sahabat media semua untuk memastikan Sukan SEA dapat dijayakan dengan begitu cemerlang,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar Bersama Media yang turut dihadiri timbalannya, Mordi Bimol.
Sebagai rekod, pada Mei 2022 Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia sebagai tuan rumah temasya dwi tahunan itu untuk edisi ke-34 tahun depan.
Ini adalah kali ketujuh negara diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965.
Terdahulu Mohammed Taufiq dalam ucapannya menyifatkan KBS sebagai kementerian yang berperanan penting dalam menentukan hala tuju masa depan negara kerana melahirkan pemimpin muda dan pelapis yang mampu menggantikan tampuk kepimpinan.
“Sebab itu tidak mudah untuk KBS atau saya bergerak bersendirian, penting untuk kita bergerak bersama-sama maju ke depan untuk memastikan kita (negara) boleh melahirkan lebih (ramai) pemimpin,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















