KUALA LUMPUR – Tabiat makan dalam kuantiti yang keterlaluan atau ‘balas dendam’ ketika berbuka puasa bukan sahaja membebankan sistem pencernaan malah menjadi punca berlakunya masalah pedih ulu hati.
Pakar Pemakanan Diet & Ketua Perkhidmatan Dietetik, Hospital Pakar Puteri Nur Hafizah Abdul Hadi menasihatkan mereka yang berpuasa bersederhana ketika berbuka bagi mengelakkan tekanan melampau terhadap organ dalaman yang telah berehat sepanjang hari.
“Apabila kita makan terlalu banyak, kita sebenarnya memaksa organ bekerja keras. Selain itu, ia juga merangsang pengeluaran hormon insulin secara agresif serta rembesan hempedu untuk menghadam lemak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Podcast MG dengan tajuk ‘Iftar Ramadan: Puas Di Mulut, Seksa Di Perut?
Jelasnya lagi, lebih membimbangkan apabila pengambilan makanan yang tinggi lemak seperti rendang dalam kuantiti yang besar boleh menjejaskan fungsi injap di antara esofagus dan perut.
“Beban makanan yang banyak dan tinggi lemak akan menyebabkan injap tersebut menjadi longgar.
“Apabila ini berlaku, asid perut mudah keluar semula dan itulah yang menyebabkan sensasi heartburn atau pedih ulu hati yang sering dialami selepas makan.
“Jangan biarkan nikmat berbuka puasa berakhir dengan kesakitan akibat kegagalan kita mengawal nafsu makan,” katanya. – MalaysiaGazette















