KULAI – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai mengarahkan tujuh buah sekolah di daerah ini ditutup sementara susulan kebakaran sebuah kilang getah di Sengkang, di sini sejak Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, penutupan tersebut menjejaskan lebih 6,000 pelajar namun mereka akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Beliau memberitahu, ini membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang iaitu seramai 153 murid dan 16 guru; SJKC Kulai Besar (1,345 murid, 71 guru); Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai (1,191 murid, 77 guru); SK Taman Kota Kulai 2 (1,210 murid, 82 guru); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Kulai (1,020 murid, 71 guru); SMK Taman Putri (1,128 murid, 91 guru) serta Sekolah Agama Taman Kota Kulai.
“Setakat semalam, tujuh sekolah telah diarahkan tutup sementara sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Sepanjang tempoh penutupan ini, pihak sekolah diminta melaksanakan PdPR mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, semua pihak perlu mematuhi arahan serta nasihat semasa daripada PKD dan agensi berkaitan memandangkan keutamaan ketika ini adalah keselamatan murid-murid dan guru-guru yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan terus bekerjasama rapat dengan PKD dan agensi berkaitan bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa, selain memastikan kesejahteraan warga sekolah terus diberi perhatian sewajarnya.
“Sebarang perkembangan rasmi akan dimaklumkan melalui saluran yang sah dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, portal ini melaporkan kebakaran kilang berkenaan pukul 4.37 petang Selasa dengan operasi memadamkan kebakaran yang memasuki hari keempat hari ini mencapai 95 peratus pemadam.
Kebakaran tersebut menyebabkan pencemaran udara yang teruk sebelum tujuh sekolah terbabit diarah tutup untuk faktor kesihatan.- MalaysiaGazette
















