JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda pendidikan berimpak tinggi apabila menyalurkan bantuan komputer riba kepada 15 pelajar yang menuntut di Pusat Permata@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai sokongan terhadap keperluan pembelajaran digital mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, bantuan itu bukan sekadar sumbangan peranti, sebaliknya melambangkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan bakat hebat Johor tidak tercicir daripada arus kecemerlangan pendidikan.
Menurut beliau, kesemua penerima merupakan pelajar Tingkatan Empat yang mengikuti program khas pendidikan pintar di pusat berkenaan.
“Dalam era digital yang menuntut akses pantas kepada ilmu dan teknologi, kemudahan komputer riba itu menjadi pemangkin untuk mereka mengoptimumkan potensi diri, memperkukuh disiplin akademik serta melonjakkan pencapaian ke tahap lebih tinggi.
“Kerajaan negeri sentiasa komited menyokong pembangunan modal insan Johor, khususnya dalam kalangan pelajar berkeperluan khas pintar cerdas yang menjadi aset masa depan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Melalui program komprehensif di pusat berkenaan, pelajar mengikuti Program Pencarian dan Pengurusan Bakat, Program Pendidikan Rendah, Program Pendidikan Menengah serta Program Pra Universiti.
Pendekatan menyeluruh itu dirangka bagi membentuk pelajar berintelek tinggi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah matang dari segi pemikiran dan sahsiah.
Bagi tujuan itu ujarnya, pelajar perlu melepasi Ujian Saringan UKM 1 dan UKM 2 yang menilai tahap kecerdasan intelek (IQ) serta keupayaan kognitif.
Kejayaan menempatkan diri dalam program berprestij itu membuktikan kemampuan anak Johor bersaing di peringkat nasional, katanya.
Setakat ini, seramai 42 pelajar anak Johor mengikuti program tersebut merangkumi lima peringkat dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan kerajaan negeri dalam mencungkil dan membimbing bakat pintar.- MalaysiaGazette
















