KUALA LUMPUR – Seramai 19 Exco dan sembilan Ketua Srikandi Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara kolektif menyatakan hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ia berikutan perkembangan semasa yang menunjukkan wujudnya kenyataan dan tindakan yang tidak selaras dengan Perlembagaan parti serta prinsip disiplin organisasi yang wajib dipatuhi oleh setiap pimpinan.
Tambahnya, kenyataan dan tindakan Mas Ermieyati juga tidak melalui musyawarah serta mandat platform organisasi sayap Srikandi, kata mereka dalam kenyataan bersama.
Ujarnya, perkara itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan dalaman, malah berpotensi menghakis kepercayaan serta merencatkan kesatuan Srikandi di semua peringkat.
“Sehubungan itu, kami menegaskan segala keputusan, kenyataan dan pendirian yang dibuat oleh beliau kebelakangan ini adalah atas kapasiti peribadi beliau semata-mata serta tidak mendapat sokongan dan persetujuan kami, Exco Srikandi Malaysia mahupun majoriti Ketua-ketua Srikandi Negeri,” katanya.
Kenyataan itu turut melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Srikandi Bersatu iaitu Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Norhaslinda Zakaria (Pangkor).
Kenyataan tersebut menambah, kesemua Exco dan Ketua Srikandi berkenaan tegas dengan pendirian kekal bersama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun ada usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengurangkan sokongan mereka mahupun ahli-ahli Srikandi terhadap Presiden.
Sehubungan itu, mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh melemahkan organisasi.
Katanya, Ketua-ketua Srikandi Negeri dan kepimpinan setempat juga telah menyelaras dalam mengenal pasti bahagian-bahagian yang terkesan dan sedang giat melaksanakan proses pemulihan.
Selain itu, langkah-langkah sewajarnya juga sedang dan akan terus diambil selaras dengan Perlembagaan parti bagi memastikan disiplin, kestabilan serta keutuhan perjuangan terus terpelihara.
“Perjuangan ini lebih besar daripada mana-mana individu. Srikandi akan terus berdiri teguh, berprinsip dan setia kepada perjuangan parti,” katanya. – MalaysiGazette
















