KULAI – Kerajaan Johor menambah 200 unit rumah percuma di bawah inisiatif Rumah Kasih Johor menjadikan sasaran 700 unit menanti penerima manfaat bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sasaran asal 500 unit rumah percuma sehingga 2026 itu ditambah atas keprihatinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memastikan tiada rakyat Johor yang terpinggir daripada hak memiliki kediaman
“Pada asalnya, kerajaan negeri mensasarkan 500 unit Rumah Kasih Johor sehingga tahun ini, namun keprihatinan Menteri Besar membawa kepada keputusan menambah 200 unit lagi, menjadikan keseluruhan sasaran kepada 700 unit rumah percuma untuk rakyat Johor yang benar-benar memerlukan.
“Ini mencerminkan kesungguhan kepimpinan negeri bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada hak memiliki kediaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 393 keluarga di negeri ini sudah menerima manfaat rumah percuma sehingga Januari tahun lalu sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2023.
Katanya, mereka yang menerima manfaat adalah di seluruh negeri termasuk Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kulai, Kluang, Segamat, Mersing, Johor Bahru dan Tangkak.
Pencapaian itu katanya, membuktikan bahawa agenda perumahan rakyat negeri ini dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.
Mohd Jafni berkata, inisiatif Rumah Percuma Johor atau Rumah Kasih Johor adalah komitmen jelas kerajaan negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat Johor mesti bermula daripada asas paling penting iaitu tempat berteduh yang sempurna.
Menurutnya, pelaksanaan Rumah Kasih Johor dilaksanakan secara berfasa dengan pencapaian 50 unit pada 2023, 120 unit pada 2024, 165 unit pada 2025 dan 365 unit pada 2026, dengan keseluruhan peruntukan mencecah sekitar RM96.5 juta sehingga 2026.
“Skala pelaksanaan ini menunjukkan bahawa program rumah percuma di Johor bukan bersifat kecil atau simbolik, tetapi satu dasar kebajikan perumahan negeri yang tersusun dan berimpak besar,” jelasnya.
Terdahulu, Mohd Jafni menyempurnakan penyerahan Rumah Kasih Johor (Rumah Percuma) itu kepada empat keluarga penerima di sini.
Beliau menjelaskan, rumah yang dibina melalui program berkenaan merangkumi pelbagai keperluan keluarga seperti rumah teres satu bilik, dua bilik dan tiga bilik mengikut kesesuaian tapak serta struktur isi rumah penerima.
Katanya, ini supaya kediaman yang disediakan benar-benar praktikal, selamat dan sesuai dengan kehidupan sebenar penerima manfaat.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menambah baik syarat kelayakan program supaya lebih inklusif dan adil, antaranya peningkatan paras garis kemiskinan per kapita kepada sekitar RM850 bagi membolehkan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah layak dipertimbangkan.
“Pendekatan ini bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan.
“Selain itu, kelonggaran turut diberikan dari segi status tanah keluarga seperti tanah milik ibu bapa atau adik-beradik dengan kebenaran pemilik serta pertimbangan kes khas di luar senarai e-Kasih yang mempunyai justifikasi kemiskinan yang kukuh.
“Penambahbaikan ini adalah bagi memastikan tiada keluarga miskin tercicir hanya kerana kekangan teknikal atau birokrasi,” katanya.- MalaysiaGazette
















