KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail membidas kelab tertentu yang disifatkan tidak menyumbang kepada ranking ‘member association’ (MA) sebaliknya hanya pandai mencipta drama di hadapan penyokong sendiri bagi menutup kegagalan mereka.
Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor juga menyindir kelab tersebut yang mendapat peluang beraksi di peringkat Asia atas tiket JDT yang beraksi cemerlang.
“Kita adalah satu-satunya kelab yang menyumbang mata. Yang ada ada hanya pandai drama depan penyokong sendiri untuk tutup kegagalan masing-masing. Pergi Asia pun atas tiket JDT.
“Asyik main skrip yang sama setiap tahun. Kita didengki, VAR (video bantuan pengadil) salah, pengadil salah, semua salah JDT, salah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), tetapi diri sendiri tak pernah salah. Sedangkan diri sendiri yang gagal. Gagal dan tak boleh terima hakikat,” tulis Tunku Mahkota Ismail.
Kritikan pedas itu diluahkan baginda pada ruangan komen di laman Instagram kelab, officialjohor yang memuat naik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berhubung sumbangan mata wakil negara kepada ranking MA Malaysia.
Sebelum itu, Garcia dalam kenyataan di laman sosial JDT menjelaskan bahawa pihaknya tidak pasti berapa lama kedudukan MA Malaysia mampu bertahan jika hanya Harimau Selatan menyumbang majoriti mata.
Bekas pemain kebangsaan Sepanyol dan Liverpool itu berpandangan bahawa slot untuk wakil negara dalam kelayakan kejohanan kelab Asia berdepan risiko jika pasukan lain dari Malaysia tidak bangkit menyumbang mata MA.
“JDT berjaya mengutip banyak mata dengan kelayakan ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), namun malangnya mata MA akan dijumlahkan dan kemudian dibahagikan dengan jumlah pasukan dari Malaysia yang bertanding di Asia.
“Perkara itu mengekang kedudukan ranking MA kita. Kita sebenarnya berpotensi untuk mencabar Australia dan China bagi mendapatkan lebih banyak slot di Asia untuk pasukan Malaysia. Kita memerlukan penyertaan yang lebih kuat daripada wakil Malaysia dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bagi meningkatkan kedudukan MA Malaysia.
“Kami sudah menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah mata tetapi beberapa negara di Asia Timur sama ada semakin menghampiri atau semakin jauh meninggalkan kami kerana mereka mempunyai lebih banyak pasukan yang menyumbang mata secara konsisten.
“Singapura dan Indonesia mengutip lebih banyak mata berbanding Malaysia pada musim ini dengan adanya dua pasukan masing-masing menyumbang mata, manakala Thailand dan Australia pula semakin ke hadapan apabila pasukan mereka secara kolektif menyumbang mata dengan konsisten,” kata Garcia.
Media sebelum inii melaporkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) meraih dua slot ke pertandingan kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2026/27 iaitu satu slot automatik ke ACLE dan ACL2. – MalaysiaGazette















