Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk keras tindakan ketenteraan yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkannya sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berucap ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menegaskan, Malaysia sebagai negara bebas dan berdaulat tidak boleh berdiam diri terhadap serangan yang dimulakan oleh Israel dengan sokongan AS itu.

“Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip dunia serta ketetapan undang-undang antarabangsa, andai serangan berterusan ke atas sebuah negara berdaulat berisiko mencetuskan eskalasi lebih besar dan menggugat kestabilan serantau,” katanya.

Menurut beliau, tindakan ketenteraan sedemikian bukan sahaja mengancam keselamatan Asia Barat malah berpotensi mengheret lebih banyak negara ke dalam kancah peperangan jika tidak dibendung segera.

Anwar turut menyeru supaya gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan serta-merta dan menegaskan bahawa sebarang pertikaian wajar diselesaikan melalui rundingan diplomatik di platform antarabangsa termasuk di PBB.

Beliau berkata, Israel mempunyai rekod panjang mengingkari ketetapan antarabangsa melalui tindakan ketenteraan terhadap beberapa negara di rantau itu seperti Iraq, Lubnan dan Syria, selain serangan berterusan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.

“Jika dibiarkan, serangan demi serangan ini akan berulang dari satu negara ke negara lain. Malaysia melihat keperluan kerjasama negara-negara Teluk untuk bersatu mempertahankan kebebasan dan kedaulatan rantau,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast