Hampir 65% stok baju raya Asyraf telah terjual.

KUALA LUMPUR – Bermula sekadar hobi mengisi masa lapang pada bulan Ramadan kini berkembang menjadi jenama baju raya yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Berkongsi perjalanan jenama baju raya yang telah bertahan lebih sembilan tahun, Muhammad Asyraf Samad, 31, membuktikan kreativiti dan usaha konsisten mampu mengubah minat menjadi perniagaan berjaya.

“Semua bermula pada 2017. Pada mulanya hanya untuk mengisi masa lapang tapi lama-kelamaan ia menjadi minat apabila pelanggan mula memberi maklum balas positif tentang material dan jahitan baju.

“Alhamdulillah, 2026 kami masih bertahan, dengan lebih ramai pelanggan tetap dan pelanggan baharu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Muhammad Asyraf Samad

Asyraf mengakui cabaran terbesar ketika menubuhkan jenama adalah membina kepercayaan pelanggan.

“Bukan bidang asal saya, jadi pada awalnya agak mencabar. Kami mula dengan konten dan gambar yang jelas menonjolkan rekaan dan tekstur kain supaya pelanggan mudah menilai.

“Fokus jenama ini adalah pada cutting slimfit, pemilihan kain berkualiti, dan harga berpatutan.

“Rekaan baju lelaki tidak terlalu banyak variasi berbanding wanita, jadi kami pastikan setiap baju kemas, selesa dan berbaloi untuk pelanggan,” ujarnya.

Tambah beliau, sasaran utama jenama itu ialah lelaki yang mahu kelihatan kemas dan tersusun ketika pagi raya atau majlis tertentu.

Strategi pemasaran pula menumpukan kepada platform digital seperti TikTok, Instagram, dan Threads yang terbukti berkesan menarik pelanggan baharu.

Untuk tahun 2026, jualan bermula lebih awal pada bulan Disember, dan hampir 65 peratus stok telah terjual.

Beberapa tahun lalu, stok pernah habis dijual dalam masa singkat, pengalaman yang membuatkan Asyraf bersyukur.

“Sebagai pemilik, saya turun padang memantau proses tempahan dan penghantaran. Saya pastikan staf fokus supaya setiap pesanan dihantar tepat tanpa sebarang masalah

“Dunia fesyen menarik untuk mereka yang kreatif. Sentiasa perbaharui rekaan, belajar terima maklum balas dan jangan cepat putus asa.

“Setiap komen, walaupun negatif, adalah titik untuk kita capai tahap yang membanggakan, insya-Allah.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast