KUALA LUMPUR – Seramai 63 individu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang untuk dirakam keterangan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah dan menyalahgunakan dana wang zakat untuk bayaran baki pinjaman perumahan.
Menurut sumber, kesemua individu tersebut telah dipanggil hari ini dan pada masa yang sama SPRM turut mempergiatkan siasatan yang dimulakan pertengahan Januari lalu dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah.
Antara individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan ialah ahli, pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang.
Pada masa yang sama SPRM Pulau Pinang turut memanggil ahli lembaga zakat, serta pegawai dan kakitangan zakat negeri.
“SPRM telah memanggil kesemua individu secara berperingkat sebaik sahaja kertas siasatan dibuka untuk dirakam keterangan dan siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri telah menggunakan kedudukan dan jawatan masing-masing untuk mencadangkan serta meluluskan pembelian tiga lot tanah pada harga kira-kira RM10 juta.
“Bagi satu lagi kes yang disiasat, suspek utama bersama Pengurus Besar Agihan Zakat negeri telah menyalahgunakan dana wang zakat melalui Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000 untuk bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan zakat negeri,” katanya.
Hujung Januari lalu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Ia susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri hujung tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette















