Empat individu lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret berhubung kes mencuri tabung Masjid Kristal Seksyen 7 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 3 MAC 2026.

SHAH ALAM – Empat lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri tabung Masjid Seksyen 7 di sini, pada 22 Febuari lalu.

Tertuduh, K. Tineshuaran (26); R. Nishanraj (22); SR Danesh (27) dan remaja berkenaan membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq  Sulaiman.

Susulan pengakuan itu, tiga daripada empat tertuduh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, hukuman ke atas remaja tersebut akan dimuktamadkan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengemukakan laporan akhlak pada 28 April ini.

Remaja terbabit turut dibenar ikat jamin sebanyak RM1,500.

Terdahulu, berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh pada pukul 4 pagi di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat beribadah telah didapati mencuri tabung kepunyaan masjid tersebut bernilai RM2,000.

Keempat-empat mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar, manakala kesemua tertuduh diwakili oleh Swinder Singh dan Ashrul Haikal.

Dalam pada itu, peguam membuat permohonan penangguhan hukuman ketiga-tiga pesalah itu sebelum mengemukakan rayuan pengurangan hukuman di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Majistret menolak permohonan berkenaan kerana mendapati ia tidak mempunyai asas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast