KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) susulan laporan kehilangan dua pemancing yang disyaki hilang di perairan Pelabuhan Klang sejak 1 Mac lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca dari Jeti Kampung Pendamar, Klang pukul 12.30 tengah hari, 1 Mac lalu dan masih belum pulang.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Muhammad Irwanshah Ismail, 33, bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Halim (identiti penuh masih belum diperolehi).

Tambahnya, kehilangan mereka dilaporkan oleh adik mangsa yang hadir ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor semalam.
“Berdasarkan laporan ahli keluarga mangsa, kali terakhir mangsa dihubungi adalah pada pukul 8.30 malam, hari yang sama menerusi aplikasi WhatsApp oleh isteri mangsa,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Muhaimin, mangsa memaklumkan mereka sedang berlindung di sebuah rumah pancing berikutan angin kencang, dengan jarak perjalanan kira-kira satu jam dari jeti Kampung Pendamar, namun lokasi tepat tidak dinyatakan.
Tambahnya, sejurus menerima laporan, aset Bot PERKASA 36 telah diatur gerak ke kawasan rumah pancing di perairan Pulau Ketam bagi melaksanakan pencarian awal.
Ujarnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudiannya mengaktifkan operasi carilamat pada pukul 2.45 petang semalam.
“Operasi hari pertama ditangguhkan pada pukul 8.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian dan disambung semula pada pukul 7 pagi hari ini,” katanya.
Tambahnya, Maritim Negeri Selangor turut membuka Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi menyelaras gerak kerja operasi di sektor pencarian.
Ujarnya, operasi hari kedua diteruskan dengan penglibatan tambahan tiga aset daripada pelbagai agensi iaitu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), meliputi keluasan sektor pencarian seluas 66 batu nautika persegi.
“Kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dikenali sebagai Halim, diminta menghubungi Maritim Negeri Selangor bagi membantu usaha pencarian,” kata beliau.
Sementara itu, katanya, Maritim Malaysia menasihati komuniti maritim agar sentiasa peka terhadap keadaan cuaca dan menitik-beratkan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sebarang maklumat berkaitan kecemasan atau jenayah di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette















