KUALA LUMPUR – Majlis Kewangan Negara (MKewN) tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersetuju menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, khususnya pemberian senarai bersama, pemberian penyenggaraan jalan negeri dan agihan cukai pelancongan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, peningkatan itu adalah rentetan kenaikan kadar pemberian mengikut bilangan orang (PMBO) bermula tahun 2026 seperti yang digariskan oleh Kerajaan Madani.
Katanya, bagi meningkatkan kemampanan aliran tunai kerajaan negeri, MKewN turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme penyaluran di bawah senarai bersama.
“Kerajaan Madani komited untuk menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat, tanpa mengira negeri atau wilayah.
“Seperti yang termaktub dalam kerangka Ekonomi Madani, limpahan hasil negara mesti diagih secara saksama dan bertunjangkan tatakelola baik,” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pemberian Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Madani telah meningkat daripada RM8.1 bilion tahun 2022 kepada RM10.3 bilion tahun lalu, dan dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini.
Untuk Majlis Kewangan Negara tahun ini katanya, pemberian penyenggaraan jalan negeri telah ditambah baik dengan peluasan skop untuk merangkumi perolehan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge), pembaikan dan pembesaran longkang serta parit di jalan negeri.
“Majlis Kewangan Negara juga bersetuju untuk penyaluran lebih awal bagi semua pemberian di bawah senarai bersama,” katanya.
Tambahnya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan sepenuhnya 100 peratus kutipan cukai pelancongan kepada negeri masing-masing, berbanding dengan amalan semasa untuk berkongsi hanya 50 peratus kutipan.
“Walhasil, Kerajaan Madani sentiasa terbuka untuk bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri, tanpa mengambil kira pendirian politik.
“Penambahbaikan pemberian ini penting untuk memperhebatkan pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” tambah Perdana Menteri.
Tambah kenyataan itu, langkah-langkah yang dipersetujui pada MKewN tahun ini menumpukan kepada peningkatan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di setiap pelosok tanah air, selaras dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani untuk menaikkan siling potensi pertumbuhan negara dan menaikkan lantai darjat hidup rakyat. – MalaysiaGazette
















