Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berucap pada Majlis Pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di lOl Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MAC 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan dana hampir RM3 bilion menerusi inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) bagi memperkasa ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) milik wanita di seluruh negara.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif berkenaan diwujudkan bagi menyelaras dan menyatupadukan pelbagai program pembangunan usahawan wanita yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan.

Menurutnya, langkah penyelarasan itu membolehkan sumber dan dana sedia ada digembleng secara lebih tersusun, sekali gus memberi impak lebih besar kepada golongan sasar.

“Melalui penyelarasan ini, bukan sahaja jumlah dana dapat ditingkatkan, malah latihan serta kemudahan lain juga dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di sini, hari ini.

Steven Sim berkata, inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen kementerian untuk melahirkan lebih ramai tokoh wanita berjaya atau ‘Iron Lady’ dalam dunia perniagaan tempatan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan inisiatif DEWI diumumkan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar usahawan wanita dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami menyasarkan kira-kira 300,000 usahawan wanita akan menerima manfaat melalui pembiayaan yang ditawarkan sehingga RM3 juta bagi setiap permohonan yang layak,” katanya.

Mengulas lanjut, tambah beliau, empat agensi di bawah KUSKOP dilantik sebagai pelaksana bagi memastikan penyaluran dana tersebut berjalan lancar dan sampai kepada golongan sasar.

Ujarnya, agensi berkenaan ialah Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurutnya, inisiatif itu dirangka bagi menyediakan sokongan kewangan yang mampan, sekali gus membantu usahawan wanita mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast