KUALA LUMPUR – Panel Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mendapati wujud bukti kesalahan memalsukan dokumen kelayakan oleh tujuh pemain warisan negara dan larangan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang bagi mereka.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
CAS menjelaskan, ia memandangkan tanggungjawab mereka yang bersubahat dalam penipuan itu.
“Namun selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA FDC, panel memutuskan bahawa larangan itu hanya terpakai kepada perlawanan sahaja bukan kepada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
“Ini bermakna pemain boleh kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh larangan. Oleh itu, rayuan para pemain diterima sebahagiannya dan sekatan itu dipinda sebahagiannya.
“Larangan bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah pun berkuat kuasa sebelum ini.
“Panel CAS juga berpendapat bahawa denda CHF350,000 ke atas FAM adalah wajar dan seimbang,” kata CAS dalam satu kenyataan di sini.
Perbicaraan secara bersemuka sudahpun berlangsung di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland pada 26 Februari lalu.
Rayuan terbabit dipertimbangkan bersama oleh Panel Timbang Tara CAS yang terdiri daripada Lars Hilliger (Denmark) sebagai Presiden, José Luis Andrade (Portugal) dan Massimo Coccia (Itali).
Sebagai rekod, pada tahun lalu, FAM menghubungi tujuh pemain itu dan pemain boleh memohon kewarganegaraan Malaysia secara sah dan bermain untuk pasukan kebangsaan FAM.
Semua pemain terbabit kemudian menjalani proses naturalisasi dan menerima pasport Malaysia.
Pada 25 September 2025, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati bahawa FAM dan pemain melanggar Kod Disiplin FIFA (FDC) dengan menggunakan dokumen yang dipalsukan dalam proses naturalisasi dan kelayakan, walaupun para pemain tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Malaysia.
Keputusan itu dikekalkan pada 3 November 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA, yang mengesahkan denda CHF350,000 ke atas FAM serta bagi setiap pemain, denda CHF2,000 dan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
FAM dan pemain mengemukakan rayuan gabungan kepada CAS pada 5 Disember 2025. – MalaysiaGazette
















