KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) menerima jumlah pendaftaran yang amat memberangsangkan bagi kemasukan ke prasekolah bagi sesi tahun 2027.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkembangan positif itu membuktikan kesediaan ibu bapa seiring hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dalam penyediaan akses pendidikan prasekolah yang berkualiti serta inklusif.
“Sehingga semalam, KPM telah menerima sebanyak 121,569 permohonan membabitkan 61,430 permohonan bagi kanak-kanak berusia lima tahun, 52,189 bagi kanak-kanak berumur empat tahun dan 7,949 bagi kanak-kanak berumur tiga tahun.
“Pendaftaran anak-anak di peringkat prasekolah menunjukan penerimaan yang sangat baik dalam kalangan ibu bapa termasuk bagi anak-anak berusia enam tahun yang akan memasuki darjah satu tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Jaulah Ramadan Komuniti KPM yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abdul Malek dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa.
Sebagai rekod, pendaftaran kemasukan ke prasekolah dibuka secara dalam talian bermula pada 2 Mac hingga 31 Mei depan, kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak warganegara Malaysia bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.
Keutamaan diberi kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) selain faktor tinggal di luar bandar.
Fadhlina berkata, KPM menyediakan kualiti pendidikan prasekolah secara percuma dengan tenaga pengajar berkelayakan serta terlatih, lengkap dengan prasarana dan kemudahan termasuk semua murid diberi faedah Bantuan Makanan Prasekolah (BMP).
Beliau berkata, sebanyak 350 buah kelas prasekolah baharu dibuka pada tahun ini menjadikan keseluruhan 10,514 kelas di 6,469 insitusi seliaan KPM seluruh negara.
Prasekolah terbaharu membabitkan Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Pengkalan TUDM Kuantan, di sini yang menyaksikan seramai 34 orang kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mula mendaftar pada 24 Februari lalu.
“Ini merupakan satu lagi institusi pendidikan yang bagi saya sangat penting kepada negara kerana kita memberikan tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kabinet putuskan kanak-kanak lima tahun wajib ikuti prasekolah – TPM
KPM teliti mekanisme penyelarasan prasekolah
















