KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan desakan DAP supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ‘mafia korporat’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai `wayang opera’.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyifatkan desakan DAP tersebut untuk berlepas diri daripada `sisi gelap’ kerajaan.
Dakwanya, ini bukan kali pertama agensi berita antarabangsa Bloomberg membuat laporan negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk berkenaan campur tangan dalam urusan SPRM.
Ujarnya, Ahli-ahli Parlimen pembangkang sebelum ini turut pernah membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat, justeru mempersoalkan mengapa wakil rakyat DAP tidak bersuara ketika itu.
“PMX (Anwar) ketika itu menyatakan tindakan akan diambil, manakala polis pula memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap Bloomberg.
“Namun, sudah dua tahun berlalu, di manakah hasil siasatan tersebut?
“Sekarang, laporan mengenai ‘mafia korporat’ juga dibuat oleh agensi yang sama, iaitu Bloomberg. Bezanya, sekarang pilihan raya sudah semakin hampir,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, sesiapa sahaja yang melihat dengan mata kepala yang normal dapat menilai seolah-olah ada ‘sesuatu’ di sebalik siasatan SPRM.
Beliau turut merujuk kepada siasatan SPRM melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tahun lalu, yang mana bekas Perdana Menteri itu dua minggu kemudiannya mengisytiharkan tidak pernah menarik sokongan kepada Anwar.
“Selepas itu, kes tersebut senyap sehingga sekarang. Kebetulankah semua ini? Nilailah dengan kepala yang waras,” katanya.
Tegas Ahmad Fadhli, beliau bersetuju dengan penubuhan RCI untuk menyiasat `mafia korporat’, namun untuk menyatakan bahawa desakan DAP itu benar-benar demi keadilan hanyalah satu wayang opera.
“Apa jua yang berlaku sekalipun, DAP tetap bersama Anwar Ibrahim dan semua keputusan kerajaan merupakan tanggungjawab bersama (collective responsibility).
“Jika DAP keluar kerajaan sekalipun pada Julai ini, selepas pilihan raya mereka tetap akan bergabung semula,” katanya.
Sebelum ini, DAP menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikatakan menyalahgunakan institusi penguat kuasa untuk kepentingan peribadi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu antara tiga ketetapan diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti kelmarin.
Bloomberg sebelum ini mendakwa mengenai kewujudan gejala mafia korporat dengan menyediakan ‘perkhidmatan’ intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.
Dalam laporannya, Bloomberg turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan berkenaan sambil menyifatkannya tidak berasas, selain menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat membuat laporan polis. – MalaysiaGazette















