Tindakan enam peniaga mengejar keuntungan dengan menjual makanan kepada pelanggan beragama Islam seawal jam 9 pagi membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Khamis lalu

MELAKA – Tindakan enam peniaga mengejar keuntungan dengan menjual makanan kepada pelanggan beragama Islam seawal jam 9 pagi membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Operasi dijalankan kira-kira jam 11.10 pagi Khamis lalu di sebuah medan selera di kawasan industri di Ayer Keroh, sebelum JAIM menahan sembilan individu berusia 20-an hingga 40-an yang tidak mempedulikan sensitiviti bulan ibadah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua mereka disyaki terlibat dalam aktiviti menjual dan membeli makanan pada waktu berpuasa seawal jam 9 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati penjual dipercayai mula menjual makanan seawal pukul 9 pagi kepada pelanggan beragama Islam sedangkan mereka tahu kesalahan dilakukan itu.

“Kita kecewa dengan sikap tidak mempedulikan sensitiviti bulan ibadah semata-mata mahu mengejar keuntungan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Kesemua sembilan mereka terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan telah dikeluarkan Surat Perintah Hadir kerana disyaki melanggar Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Menurutnya, turut ditahan adalah tiga lagi pelanggan kedai yang beragama Islam dan disyaki ponteng puasa menjadikan kesemua sembilan individu diperiksa berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan telah dikeluarkan Surat Perintah Hadir kerana disyaki melanggar Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

“Majoriti mereka bekerja sendiri, manakala selebihnya pekerja sektor swasta dan kesemua tiga pelanggan tidak dapat memberikan alasan munasabah melakukan kesalahan itu,” tambahnya.

Rahmad Mariman

Berdasarkan seksyen itu, perbuatan makan, minum, atau menjual makanan kepada orang Islam pada waktu siang untuk dimakan serta merta di bulan Ramadan adalah satu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Rahmad berkata, bagi kesalahan berulang, hukuman meningkat kepada denda RM2,000 atau penjara 12 bulan, manakala bagi kesalahan merokok di siang hari pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500 atau penjara sehingga tiga bulan.

“JAIM akan terus mempergiatkan operasi pemantauan di beberapa lokasi tumpuan sehingga ke akhir Ramadan ini bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang syariah negeri,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast