JOHOR BAHRU – Inisiatif Rumah Bangsa diharap menjadi satu gelombang yang positif untuk UMNO sekali gus diterima baik dalam penyatuan parti selain menjadi perpaduan serta perjuangan orang Melayu.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ramai yang masih sayangkan parti tersebut dan mahu melihat kembali kuat seperti sebelum ini.
“Harap Rumah Bangsa akan menjadi titik permulaan untuk UMNO menjadi lebih bagus dalam perjalanan politiknya. UMNO buka pintu seluas-luasnya. Selepas Presiden UMNO keluarkan kenyataan, ramai yang memberikan komen positif.
“Komen negatif memang ada dan itu biasalah, tak semua orang akan suka. Saya ambil positif. Contohnya Khairy Jamaluddin ada bagi kenyataan, itu antara maklum balas positif yang diterima,” katanya.
Beliau yang juga Penasihat Program Mooda Events berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Empowering The Young Muslimah di Danga Bay Convention Center di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nooryana Najwa Najib.
Jumaat lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, permohonan untuk menyertai Rumah Bangsa menerima sambutan amat menggalakkan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata permohonan untuk menyertai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu perlu dibuat secara rasmi bagi mengelak masalah pada masa depan.- MalaysiaGazette















