KLUANG – Menyajikan makanan terutama dari Kelantan yang menjadi tarikan kedai makan Dapur Wan Dolah di Taman Idaman di sini untuk berbuka puasa.
Menu makanan yang dibawa khas dari negeri pantai timur itu menyediakan pelbagai pilihan untuk menambat selera sepanjang Ramadan kali ini.
Antara menu menarik di kedai yang diusahakan oleh pasangan anak beranak, Nora Abd Rahman, 41, dan anaknya Mohamad Aaron Mikhail Mohd Ridzuan, 22, adalah Nasi Aye Sepoho, Nasi Aye Cice, Nasi Kerabu Lemok Bakar dan Nasi Ike Singge.
Sementara menu pembasah tekak yang kebiasaanya menjadi pilihan orang ramai adalah air Teh Hijau Berlemok dan Teh Beng Madu apatah lagi jika dihidangkan dengan Puding Karamel.
Mohamad Aaron berkata, kedai makan yang diusahakan sejak 2021 itu sebelumnya hanya dijalankan secara kecil-kecilan di sebuah medan selera.
Dia kemudian mengembangkan perniagaan makanan menjadi sebuah kedai dengan menggunakan nama Dapur Wan Dolah (DWD).
Jelasnya, untuk Ramadan, pihaknya memulakan perniagaan bermula pukul 3 petang hingga 8 malam manakala pada hari biasa bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Sabtu.
Pihaknya turut menyediakan perkhidmatan menerima tempahan menggunakan penghantar makanan daripada pelbagai platform yang ada sebagai usaha memenuhi permintaan orang ramai yang tidak dapat datang makan di kedai.
“Untuk Ramadan ini, orang ramai yang ingin makan bersama-sama keluarga di kedai kami perlu membuat tempahan awal bagi membolehkan kami menyediakan makanan sebelum waktu berbuka puasa selain mengelak ketiadaan ruang makan.
“Ini kerana ada ketika permintaan melebihi meja makan yang disediakan di kedai ini dan keadaan itu memberikan masa kepada kami membuat penambahan meja sekiranya memerlukan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Aaron lagi, walaupun menu yang disediakan seratus peratus menu Kelantan, pihaknya bersyukur kerana diterima di negeri ini yang kebiasaanya lebih sinonim dengan Nasi Beriyani atau Asam Pedas.
“Orang ramai yang ingin membuat tempahan atau pesanan makanan boleh menghubungi kami menerusi talian 016 791 6672,” katanya.- MalaysiaGazette
















