Empat suspek ditahan dan beberapa barangan yang dirampas dalam kes peras ugut di Flat Hani Manan, Jalan Tepi Sekolah, Kluang

KLUANG – Empat termasuk seorang wanita dan bapa angkatnya ditahan kerana melakukan peras ugut warga asing di sebuah Flat Haji Manan, Jalan Tepi Sekolah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semua suspek berusia 24 hingga 50 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima laporan kejadian pukul 4.45 pagi kelmarin.

“Semua suspek ditahan pada hari sama. Ketika tangkapan, suspek wanita menyamar sebagai isteri kepada suspek kedua yang memiliki 12 rekod jenayah. Bagaimanapun, hasil soal siasat, wanita itu sebenarnya anak angkat lelaki terbabit.

“Semakan mendapati suspek wanita tiada rekod lampau namun suspek ketiga dan keempat masing-masing empat dan 10 rekod berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu pihaknya merampas satu tangkai anak kunci dan sebuah kereta jenis Toyota Naza warna hitam.

Katanya, keempat-empat suspek sudah direman dari 7 hingga 10 Mac ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 atau tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast