Ketua Cabang Keadilan Selayang, Chua Wei Kiat.

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selayang, Chua Wei Kiat menggesa supaya permohonan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak untuk menjadi ahli parti itu ditolak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang itu, sekiranya PKR menerima keahlian Tamim Dahri, ia akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa parti itu mengalu-alukan golongan yang disifatkan ekstremis dalam menangani isu melibatkan agama.

Beliau turut mengimbau bagaimana PKR yang menyambut ulang tahun ke-18 `tsunami politik’ hari ini, berpegang teguh kepada prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan ketika menangani konflik dalam masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, ramai sebelum ini meragui sejauh mana PKR mampu bertahan dalam realiti politik yang lebih memihak kepada parti yang mengambil jalur politik yang keras dalam isu agama dan kaum.

Disebabkan itu, jelas beliau, ramai yang menonjolkan diri sebagai “wira” bangsa dan agama tertentu, untuk menambat hati pengundi kaum tertentu.

“Namun PKR tetap memilih jalan tengah, mengambil pendekatan untuk mendamaikan semua pihak yang berbalah, atas semangat persaudaraan sesama manusia.

“Rakyat memberi peluang kepada PKR pada 8 Mac 2008, untuk melonjak dari satu kerusi pada tahun 2004 kepada 31 kerusi Parlimen, selain lima kerajaan negeri bersama rakan sekutu.

“Sepanjang 18 tahun lalu, kita bekerja keras untuk meyakinkan pengundi bahawa kita tidak berganjak dari garis politik ini.

“Andainya PKR tidak berganjak dari prinsip ini ketika kita menjadi pembangkang, apa alasannya kita mengkhianati idealisme ini ketika kita berkuasa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wei Kiat, menerima keahlian Tamim Dahri juga memberi gambaran salah kepada umum, seolah-olah PKR merestui tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa melibatkan pihak berkuasa.

Sedangkan, ujar beliau, PKR telah menggariskan syarat agar prosedur undang-undang itu dipatuhi, untuk mengelakkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat.

“Tiada ruang untuk provokasi dalam PKR. Tiada sentimen kaum dan agama sempit dibenarkan.

“Yang ada, semangat persaudaraan sesama manusia yang berlandaskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kepelbagaian,” katanya.

Sebelum ini, Tamim Dahri yang merupakan aktivis utama dalam menentang rumah ibadat haram berkongsi tangkap layar di Facebooknya menunjukkan beliau telah menghantar permohonan untuk menyertai PKR melalui aplikasi rasmi parti tersebut.

Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh yang menjelaskan permohonan Tamim Dahri diterima pada 5 Mac lalu, dan akan melalui proses saringan sebelum diluluskan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast