JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) perlu diadakan serentak untuk menjimatkan kos, tidak menyusahkan rakyat dan tidak menganggu pentadbiran kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata, ia bagi memastikan proses demokrasi tersebut dijalankan dengan cara yang paling bertanggungjawab, efisien dan menghormati keadaan rakyat pada hari ini.

“Pertama, daripada sudut kos kepada negara dan negeri, setiap pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang besar melibatkan logistik, keselamatan, tenaga kerja, serta pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Mengadakan dua pilihan raya pada masa yang berasingan bermakna kos ini perlu ditanggung dua kali.

“Dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar bagi ramai rakyat, persoalan yang perlu kita tanyakan ialah adakah ini penggunaan sumber yang paling wajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arthur berkata, kesan yang kedua perlu dilihat adalah daripada sudut kestabilan pentadbiran kerajaan dan fokus pembangunan.

Katanya, apabila pilihan raya berlaku terlalu kerap dalam tempoh singkat, perhatian kerajaan dan pentadbiran sering teralih kepada persiapan politik dan kempen.

Sedangkan pada masa yang sama, rakyat sebenarnya lebih memerlukan tumpuan kepada isu ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, serta kesejahteraan sosial.

Ketiga pula, katanya, daripada sudut keletihan politik dalam kalangan rakyat terutama terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran kos sara hidup hari ini.

“Mengadakan pilihan raya yang berulang dalam tempoh singkat boleh menyebabkan keletihan politik (political fatigue), di mana rakyat terpaksa kembali ke proses pengundian sekali lagi dalam masa yang tidak jauh berbeza,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Biro Ekonomi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor berkata, faktor keempat pula akan melibatkan kecekapan pentadbiran negara secara keseluruhan.

Jelasnya, mengadakan PRN dan PRU-16 pada hari yang sama bukan sahaja lebih efisien daripada segi kos, malah membantu memastikan kestabilan politik yang lebih jelas dalam satu tempoh yang lebih panjang selepas pilihan raya selesai.

Atas sebab-sebab itu beliau menyeru kerajaan negeri agar mempertimbangkan dengan serius kepentingan rakyat Johor sebelum membuat sebarang keputusan mengenai tarikh PRN.

“Ini bukan soal siapa yang menang atau kalah dalam pilihan raya. Sebagai wakil rakyat dan ADUN Pengimbang, saya akan terus menyuarakan pandangan yang berpaksikan kepentingan rakyat Johor.

“Akhirnya, apa jua keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri, harapan saya hanyalah satu, biarlah ia keputusan yang benar-benar meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Menurutnya apa yang disuarakan itu tidak berasaskan kepentingan politik mana-mana pihak tetapi semata-mata berlandaskan kepentingan rakyat Johor.

“Sebagai ADUN Pengimbang, tanggungjawab saya adalah memastikan suara rakyat didengari dengan jelas dalam setiap keputusan besar yang melibatkan masa depan negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast