KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat setelah pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat pada hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga sedang giat memantau serta meneliti perkembangan perang di Asia Barat.
“Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi evakuasi ini dipermudah, berjalan lancar, dan kesemua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya menerusi taklimat PMO hari ini.
Tambah beliau, Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa nyawa rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutamanya situasi kritikal yang tidak menentu.
“Pejabat Perdana Menteri berharap kesemua ikhtiar kerajaan, sama ada dari soal ekonomi mahupun keselamatan, dapat memberikan kelegaan langsung kepada rakyat ketika penilaian impak terhadap ekonomi global sedang giat dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan operasi evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau tersebut.
Katanya, operasi evakuasi itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
Tambahnya, MKN akan menyelaras operasi itu dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
Perang antara Israel yang disokong Amerika Syarikat (AS) dengan Iran kini berlanjutan hampir dua minggu dengan kedua-dua pihak semakin meningkatkan operasi ketenteraan, sekali gus menjadikan situasi di Asia Barat kian meruncing. – MalaysiaGazette
















