Seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan dibuang dalam sebuah tong sampah di kawasan pangsapuri di Plentong, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan dibuang dalam sebuah tong sampah di kawasan pangsapuri di Plentong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut dilaporkan penduduk setempat kepada polis pada pukul 8.45 pagi.

“Bayi perempuan berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian serta dibungkus menggunakan beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bayi tersebut cukup sifat dan masih bernyawa.

“Keadaan bayi itu turut disahkan oleh pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail (HIS),” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bayi berkenaan sudah dibawa ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja meninggalkan kanak-kanak dengan niat hendak membuang.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Hanis Mohamad Nafipi (018-7718919) atau menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast