Foto: UTM

JOHOR BAHRU – Legasi intelektual yang digagaskan oleh Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas akan kekal menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat dan para akademia, terutamanya bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Jasa tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam itu memainkan peranan penting dalam memberi gagasan falsafah dan pemikiran bagi penubuhan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) di UTM Kuala Lumpur pada 21 Februari 2011, amat dihargai universiti itu.

UTM dalam satu kenyataan hari ini berkata, legasi intelektual Allahyarham akan kekal dalam usaha berterusan memperkukuh pembangunan ilmu, memartabatkan budaya ilmu serta menyumbang kepada pembangunan peradaban yang berteraskan nilai dan adab.

“UTM amat menghargai sumbangan Allahyarham yang memainkan peranan penting dalam memberi gagasan falsafah dan pemikiran penubuhan RZS-CASIS yang berperanan memperkukuh penyelidikan dan pengajaran berkaitan Islam, sains dan peradaban.

“Penubuhan pusat ini adalah komitmen universiti dalam meneruskan tradisi keilmuan serta memperkaya wacana intelektual yang memahami cabaran pemikiran barat semasa, pada masa yang sama mendalam ilmu turathnya,” katanya.

Jelas UTM, sebagai Profesor Pelawat Ternama di RSZ-CASIS, Allahyarham Syed Muhammad Naquib sering meluangkan masa bersama-sama pensyarah, pelajar dan masyarakat awam menerusi pelbagai wacana termasuk RZS-CASIS Saturday Night Lecture Series (SNL) yang juga wacana ikonik beliau.

Universiti tersebut memaklumkan, Allahyarham masih bergiat aktif bersama RZS-CASIS sehingga pemergian beliau.

UTM menjelaskan, Allahyarham memberi sumbangan besar kepada perkembangan pemikiran Islam, falsafah serta pembangunan tradisi keilmuan di peringkat nasional dan juga global.

“Allahyarham di UTM terkenal sebagai seorang tokoh kesarjanaan tersohor yang telah memperkaya khazanah ilmu melalui penulisan dan gagasan pemikiran yang telah memberi impak signifikan kepada dunia akademia.

“Gagasan pemikiran beliau mengenai konsep pendidikan berteraskan pandangan Islam serta usaha memperkukuh kedudukan ilmu dalam pembinaan tamadun telah menjadi rujukan penting dalam pelbagai wacana kontemporari,” katanya.

Sementara itu, katanya, seluruh warga UTM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Allahyarham Syed Muhammad Naquib menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam di Kuala Lumpur pada usia 94 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast